Jumaat, 28 Disember 2007

Antarabangsa : PKPIM Diterima Sebagai Anggota UNIW


Mesyuarat Agung The Union Of NGOs of the Islamic World (UNIW) pada 7 Disember 2007 yang lepas sebulat suara menerima keanggotaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebagai salah sebuah ahli gabungannya. PKPIM diwakili oleh Khairul Anwar Bin Shazali (Naib Presiden), Mohd. Saifullah Bin Mohd. Zulkifli (Exco) dan Wan Mohd. Wasif Bin Wan Mohd (Exco) di dalam mesyuarat agung UNIW itu.

UNIW yang berpengkalan di Turki adalah sebuah badan yang menggabungkan NGO-NGO Islam daripada serata dunia. Penubuhan UNIW merupakan satu inisiatif yang bermula di Turki. Penubuhan UNIW telah diluluskan pada 12 Disember 2005 melalui Cabinet Decree No. 2003/9910 oleh Presiden Turki. Penubuhannya telah mendapat sokongan dan mandat hampir keseluruhan NGO Islam sedunia. Kewujudan UNIW adalah mempunyai signifikasi tersendiri apabila ia merupakan satu-satunya badan gabungan NGO Islam peringkat antarabangsa yang ditubuhkan pasca September 11.
Sebelum ini wakil tunggal NGO Islam Malaysia di dalam UNIW ialah Global Peace Mission Malaysia (GPM) yang diwakili oleh Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman (mantan pengerusi GPM) yang kini merupakan Naib Presiden WADAH. Beliau juga merupakan satu-satunya pemimpin NGO Islam Malaysia yang menjadi Exco UNIW.

Mesyuarat agung kali ini telah menerima keanggotaan lebih daripada 30 buah NGO daripada serata dunia sebagai ahli gabungannya yang baru. Selain daripada PKPIM, NGO Islam Malaysia yang turut diterima keanggotaannya di dalam mesyuarat agung yang sama ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdsan Ummah (WADAH), dan Yayasan Takmir Pendidikan (YTP).

Mesyuarat agung UNIW pada kali ini membentangkan laporan kewangan serta laporan pelbagai program yang telah dilaksanakan sepanjang dua tahun yang lalu. Selain daripada itu, isu-isu berbangkit di antaranya krisis Palestin-Israel turut dibincangkan. Bersekali dengan mesyuarat agung ini, UNIW turut menganjurkan Persidangan Antarabangsa Islamophobia yang bertempat di Hotel Grand Cevahir, Istanbul, Turki pada 8 dan 9 Disember.
Maklumat lanjut berhubung dengan UNIW boleh diperolehi melalui laman web: http://www.theunity.org/en


 

Laman Pelajar Islam Kelantan | PPIK Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | by Media PPIK.