Khamis, 8 Julai 2010

MAJLIS SAMBUTAN ISRAK & MIKRAJ


Sultan Salahuddin Al-Ayyubi merupakan antara nama-nama besar dan terkemuka yang terakam dalam sejarah Islam. Kejayaannya membebaskan al-Quds dari cengakaman tentera salibiyah pada tarikh keramat (4 Julai 1187) merupakan satu karamah yang tidak pernah diberikan oleh Allah kepada sesiapa pun selepas Saidina Umar al-Khattab sehingga ke hari ini. Selepas zaman kejatuhan khalifah dan peristiwa Naqbah Palestin 1948, ummat Islam terus menanti kehadiran Salahuddin yang baharu bagi merampas kembali hak Ummat Islam daripada Zionis Yahudi laknatullah dan para sekutu mereka. Namun, apakah Salahuddin baharu ini bakal muncul secara tiba-tiba? Dan apakah hakikat sebenar kemunculan Salahuddin dan generasinya yang mampu mempamerkan kekuatan luar biasa sehingga berjaya mengalahkan pakatan tentera Salib di Jerusalem. Malam Apresiasi Salahuddin merupakan suatu wadah bagi menggerakkan kesedaran ummat tentang faktor dan landasan sebenar yang membentuk generasi Salahuddin;- dari pengaruh intelektual-spiritual Imam al-Ghazali, diteruskan oleh Syeikh Abdul Qadir Jailani dengan pengenalan sistem madrasah dan tarbiyah yang sistematik.



Ahad, 4 Julai 2010

PKPIM hantar 3 wakil ke Perhimpunan Agung IIFSO



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menghantar tiga orang wakil iaitu Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden), Abu Qasim Nur Azmi (Naib Presiden Antarabangsa) dan Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad (Exco Pendidikan dan Penyelidikan) untuk menghadiri Perhimpunan Agung International Islamic Federation of Student Organizations (IIFSO) yang berlangsung di Hotel Mercure, Ancol, Jakarta, Indonesia pada 4-6 Jun 2010.

IIFSO yang ditubuhkan semenjak tahun 1969 dan berpusat di Kuwait telah menghimpunkan 67 organisasi pelajar Islam dari 53 buah negara di seluruh dunia. Suatu ketika dahulu, IIFSO dikenali dengan keaktifannya menerbitkan buku para pemikir Islam seperti Abul Ala Maududi, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, Abul Hasan Ali Nadwi, dan Pak Natsir. Antara tokoh pemimpin pelajar yang pernah bergiat aktif dengan IIFSO ini ialah Ahmad Totonji, Nurcholish Madjid, Anwar Ibrahim, Mustaffa Kamil Ayub dan ramai lagi.

Antara agenda yang dimuatkan dalam Perhimpunan Agung IIFSO kali ini ialah pemilihan untuk ahli Majlis Syura dan Jawatankuasa Eksekutif baru bagi sesi 2010, pembentangan laporan IIFSO, perbahasan perwakilan negara, forum belia, bengkel latihan pembangunan manusia , persembahan kebudayaan dan ziarah rekreasi.

Dalam program ini juga perwakilan PKPIM mengambil kesempatan untuk memperluaskan jaringan antarabangsa dengan organisasi pelajar Islam luar negara seperti Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia(KAMMI), Pelajar Islam Indonesia(PII), Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia (HMI),Chhatra Shibir (Bangladesh) dan organisasi pelajar Islam dari Singapura, Brunei,Turki, Algeria, Maghribi, Burkina Faso,Togo, Afrika Selatan, Pakistan, India, Jerman, Jepun dan lain-lain.

Sepanjang kunjungan ke Indonesia juga,wakil PKPIM berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Direktor Pendidikan Islam Departemen Agama Indonesia, Dr Imam Tholkhah. Dalam kunjungan hormat tersebut, wakil PKPIM bersama Dr Imam Tholkhah telah bertukar-tukar pandangan dan idea berkenaan sistem pendidikan Islam kedua-dua negara sebagai wadah untuk memperkemas sistem pendidikan Islam di negara masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga telah mengaturkan siri ziarah ke pejabat Pelajar Islam Indonesia (PII), dan kediaman saudara Zaid Makarma, mantan Ketua Umum PII dan Setiausaha Agung Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara(PEPIAT) di Bogor.


PKPIM akan bantu penghuni Rumah Kebajikan Titian Kasih



Khamis/1 Julai 2010: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan membantu semampu mungkin untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh 73 penghuni wanita termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Rumah Kebajikan Titian Kaseh (RTK), Kuala Lumpur yang diarahkan Mahkamah untuk berpindah dalam satu siri lawatan khas ke premis berkenaan tadi.

Menerusi lawatan berkenaan, Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz dan Setiausaha Agung Khairul Anuar Musa telah mengadakan perbincangan dengan Hjh Sharifah Binti Adlan atau "Mak Pah" pengelola kepada Pusat Jagaan Titian Kaseh bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang isu berkenaan.

Dalam pada itu, lawatan berkenaan juga dibuat bertujuan untuk berbincang berkenaan gerak kerja susulan yang mampu dilakukan PKPIM sebagai gerakan pelajar untuk meringankan kesulitan mereka dalam menghadapi isu ini.

Dalam perbincangan tersebut PKPIM bersama beberapa aktivis masyarakat akan berusaha mencari seramai mungkin penyumbang yang dapat tampil untuk membantu mereka mendapatkan tapak premis baru dalam masa terdekat.





Ini memandangkan, susulan daripada perintah mahkamah tersebut, seramai 73 penghuni berkenaan terpaksa ditempatkan bersama-sama lebih 50 penghuni lelaki di sebuah rumah perlindungan lain yang tidak jauh dari premis berkenaan yang akan menyebabkan kesesakan dan penyebaran wabak penyakit berjangkit.

Sementara itu, PKPIM juga akan bersama dengan pihak Pusat Jagaan Titian Kaseh berusaha untuk menjayakan program “Malam Amal Titian Kaseh 2010 (MAK 2010)” pada 25 Julai 2010 jam 8.00 malam di Hotel De Palma, Ampang bagi tujuan mendapatkan sumbangan untuk mereka menjana pendapatan.

Maka, bagi tujuan berkenaan, PKPIM juga mengrapkan bantuan dari semua pihak untuk menyalurkan bantuan khususnya dalam menjayakan program Malam Amal Titian Kaseh tersebut. Bagi yang ingin membantu mereka boleh terus menghubungi sekretariat RTK di talian 03-40255246/019-6455769.

Semalam, media telah melaporkan seramai 73 penghuni wanita termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di RTK kini sedang menghitung detik untuk ‘bersesak-sesak’ bersama lebih 50 penghuni lelaki di sebuah lagi rumah perlindungan selepas diarah keluar dari kediaman itu.


 

Laman Pelajar Islam Kelantan | PPIK Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | by Media PPIK.