PASIR MAS – Seorang remaja di Kampung Kekabu memohon bantuan kaki palsu kerana kaki kanannya terpaksa dipotong setelah dijangkiti kuman, sebulan lalu.
Mohd Hanif Ismail, 17, berkata, dia disahkan mengidap penyakit kanser kulit sejak setahun lalu dan sudah berjangkit ke bahagian tulang dan pihak hospital terpaksa memotongnya bagi mengelakkan menjangkiti bahagian lain.
“Ketika itu, saya baru sahaja di tingkatan dua dan terpaksa menangguhkan pembelajaran dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke tahun hadapan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mohd Hanif berkata, dia juga lemah paru-paru dan terpaksa dibedah beberapa kali.
Menurutnya, dia banyak menghabiskan masa berehat di rumah dan di hospital menyebabkan dia tercicir dalam pembelajaran di sekolah seperti rakan-rakannya yang lain.
Sementara itu bapanya, Ismail Hamad, 53, berkata, dia yang hanya bekerja kampung tidak mampu menyediakan kaki palsu untuk anak keenam daripada sembilan beradik itu.
“Saya hanya mampu mendapatkan dua tingkat untuknya bagi memudahkan pergerakannya agar tidak bosan berada di rumah,” katanya.
Ismail berkata, dia juga terpaksa mencari rezeki buat isteri dan lima lagi anak-anaknya yang masih bersekolah.
Menurutnya, dia hanya mahukan kehidupan anak-anaknya lebih baik dengan keperluan pembelajaran sempurna, namun cabaran yang ditanggung dalam menyediakan kelengkapan pembelajaran dan kos perubatan Hanif sukar dicapai.
“Kami mengharapkan mana-mana pihak yang prihatin dapat memberi bantuan kaki palsu buat Hanif bagi meringankan kehidupannya apabila melangkah masuk ke tingkatan lima tahun hadapan,” katanya
http://www.sinarharian.com.my/sh/kelantan/content/story8563396.asp