Jumaat, 28 Januari 2011

Berita Harian : Situasi 'menang-menang' penyelesaian isu Interlok


Semua pihak harus sokong, beri mandat kepada panel bebas


KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak memberi reaksi berbeza terhadap keputusan Kementerian Pelajaran semalam untuk mengekalkan novel Interlok sebagai teks komponen sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS), tetapi dengan pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyokong langkah itu yang disifatkan sebagai pertimbangan sama rata atau ‘menang-menang’ kepada semua pihak terbabit.

Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, berkata kerajaan pasti sudah meneliti dan mengambil kira semua aspek penting berkaitan isu berkenaan sebelum mengambil keputusan itu.

“Justeru, semua pihak harus menyokong dan memberi mandat kepada panel bebas yang dilantik untuk melaksanakan tugas membuat pindaan bersesuaian bagi memastikan isu ini tidak berpanjangan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, turut menyokong langkah kementerian bagi mengelak pembaziran wang kerana perlu menerbitkan teks baru untuk KOMSAS.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz juga menyambut baik penyelesaian yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menolak sebarang pindaan dilakukan terhadap Interlok.

Ketua Dua GAPENA, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata pertubuhan itu akan menghantar empat wakil menduduki panel khas itu untuk memberi penjelasan kepada sebarang salah faham atau salah sangka itu.

Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali, pula berkata, jika Interlok dirasakan tidak sesuai, batalkan saja penggunaan novel itu dan ganti dengan novel lain.

Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Bin Abdul Aziz, berkata persatuan itu tidak bersetuju dengan pindaan yang hendak dilakukan terhadap kandungan Interlok yang berusia 40 tahun itu.

Presiden PENA, Mohamad Saleeh Rahamad, berkata tidak ada asas kukuh terhadap dakwaan bahawa novel itu menghina orang India seperti yang sudah dibincangkan dalam banyak dialog dilakukan pelbagai pihak.

Isteri Abdullah, Datin Siti Saroja Basri, berkata sebarang pindaan terhadap novel itu perlu diserahkan kepada penulis untuk dipersetujui terlebih dulu.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk G Palanivel mahu panel bebas yang diwujudkan bagi mengkaji pindaan itu meneliti apa yang disunting bagi mengelakkan sebarang pertikaian.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Situasi_menang-menang_penyelesaianisuInterlok/Article

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

 

Laman Pelajar Islam Kelantan | PPIK Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | by Media PPIK.