Isnin, 22 September 2008

Pena YDP : Refokus Kepada Pembinaan Semula Kader


Assalamualaykum wbt.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyuruh kepada kebajikan, yang menegakkan yang ma’aruf dan mencegah kemungkaran. Itulah golongan orang-orang yang berjaya.”
(Ali-Imran 104)Bersyukur kehadrat Allah kerana mempertemukan kita dalam laman weblog PPIK yang telah diberi sentuhan baru oleh teman-teman penggerak dan daie PPIK. Inilah satu kaedah kita memperbaharui matlamat dan iltizam kita melalui bagaimana kita cuba mewujudkan satu suasana yang lebih baik dari keadaan sebelumnya sebagaimana yang kita dapat lihat melalui weblog persatuan ini.



Begitu juga dengan tugas kita sebagai daie dan sukarelawan pelajar Islam yang seharusnya menjadi pegangan dalam diri kita untuk selalu bermuhasabah dan memperkasakan diri melalui evaluasi terhadap diri sendiri. Iaitu kita perlu mempunyai wawasan yang jelas yang hendak dicapai. Perlu selalu kreatif menentang emosi sendiri dan budaya yang menghalang. Perlu sanggup mengalami apa saja risiko yang menyekat pencapaian wawasan. Perlu selalu melengkapi diri dengan ilmu dan pengalaman supaya ia berkembang menjadi seorang pelajar yang profesional. Perlu sedia melayani pendapat-pendapat yang bercanggah dengan pendapat kita.

Perlu sedia mengubah tindakan dan sikap kalau perubahan itu terarah kepada wawasan dan matlamat. Perlu sedia menundukkan egoisme diri yang sering menepuk dadanya sendiri.Dan perlu pintar mengurus penjadualan dirinya, baik pengurusan fizikal, pengurusan penjadualan mentalnya, pengurusan penjadualan rohaninya mahupun pengurusan penjadualan masa kita. Inilah kaedah terbaik kita membuat muhasabah dan evaluasi diri kita.

Refokus Terhadap Pembangunan PPIK

PPIK yang sudah lama diwujudkan di Kelantan ini amat wajar di saat ini harus diperkasakan semula. Segala kekuatan organisasi ini terletak kepada kesungguhan teman-teman yang berada di pelbagai kampus samada di Kelantan atau luar negeri untuk kita sama-sama menyumbang dalam erti kata apa yang termampu kita sumbangkan untuk PPIK. menyumbang harta, wang, tenaga, idea , ilmu, simpatisme, segalanya memberi manfaat yang besar kepada PPIK untuk memacu ke hadapan menyempurnakan misinya.

Lihat sahaja pencapaian terdahulu yang dibarisi oleh abang-abang kita , dimana mereka menungguguli zaman mereka dengan mempersiapkan diri mereka melalui tarbiyyah PPIK dan PKPIM di alam kampus, kemudian diteruskan pemerkasaan diri di zaman belianya dengan menyertai madrasah ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan akhinya apabila mereka menamatkan pembinaan diri di kedua-dua madrasah ini, akhirnya mereka berada di pelbagai lapangan dan akhirnya berjaya dalam lapangan yang diceburi.

Maka apa yang terbaik ialah kita mula memantapkan semula kegiatan PPIK di kampus samada diperkasakan melalui gabungan dalam Persatuan Kebangsaan pelajar Islam Malaysia (PKPIM) , atau usrah PPIK yang sudah sedia wujud di kampus masing-masing. PPIK juga sedang giat membina generasi baru dengan kekerapan kita mengadakan program pembinaan kaderisasi di peringkat pelajar sekolah menengah di seluruh Kelantan. Oleh itu kita sememangnya memerlukan bantuan daripada teman-teman yang berada di kampus untuk menyummbag apabila pulang ke negeri apabila cuti pengajian.

Kita juga merasa bertuah kerana teman-teman di kampus Kuala Lumpur dan Selangor apabila berjaya menggerakkan aktiviti PPIK di sana melalui koordinator yang dilantik iaitu saudara Shahiran yang dibantu oleh teman-teman lain seperti Aemy Elyani, Aisy, Azmiza, dan lain-lain.

PPIK di ruangan Siber

Alhamdulillah , laman weblog PPIK yang sedikit masa dahulu "menyepi" kini diberi sentuhan baru apabila laman weblog ini dikendalikan oleh teman-teman di pelbagai kampus yang akan berkongsi pengalaman, laporan aktiviti kampus, idea, bahan tarbiyyah dan lain-lain. Editor-editor weblog ini terdiri daripada Shahiran (KUIS) Aemy Elyani (UIAM), Aisy Anuarin (UIAM) , Kamil halim (Universiti Of Korea) , Azmiza (FEDEC ABIM) dan insya Allah, ahli editor akan ditambah mengikut zon mereka berada.

PPIK juga mewujudkan ruangan Forum Siber - Usrah Online yang menjadi medium untuk kita berkongsi idea, ilmu, pendapat dan lain-lain walaupun kita masing-masing berada di tempat yang berbeza. Saya anggap ini satu permulaan yang baik. Tidak mustahil, di satu masa akan datang, ruangan siber ini akan kita manfaatkan untuk berdiskusi secara maya di ruangan "chatting room" mengikut hari-hari yang ditetapkan.

Insya Allah, semoga kita dapat sama-sama memanfaatkan ruang yang ada ini untuk diterjemahkan sebagai sebahagian daripada amal ibadah kita yang akan dinilai oleh Allah. Semoga kita dapat mengmbil peluang dan kesempatan ini untuk menzahirkan apa yang di garap dalam misi dan visi yang ditetapkan oleh PPIK.

Saya mengajak teman-teman agar cernakan idea melalui gerak daya , dunia yang global disulami deras arus perdana sentiasa merindukan pemikiran baru yang ideal seperti anda semua, sekalung penghargaan dan salam perjuangan.

Al Faqir il Allah

Faizul Afzan (Fatih)
Pemangku YDP PPIK

Tips : Kenapa perlu Menyertai PPIK ?

Melaksanakan tugas amar ma’aruf nahi mungkar.
Memberi sumbangan yang bererti kepada masyarakat.
Memahami selok-belok dalam berorganisasi.
Memupuk ukhuwah dan silaturrahim serta semangat kerjasama dan toleransi.
Mempelajari pelbagai cara berinteraksi yang berkesan.
Melatih dan membina ketokohan diri bagi memimpin.
Melatih diri bagi menjadi seorang yang berdisiplin dan bertanggungjawab.
Membentuk pemikiran yang proaktif, optimis serta projektif.
Menghargai masa.

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

 

Laman Pelajar Islam Kelantan | PPIK Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | by Media PPIK.