Khamis, 9 September 2010

Perutusan Adilfitri YDP PPIK 2010/2011


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum wbrkth,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,

Alhamdulillah, Segala puji dan syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selaku para hambaNya. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa,noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian.


Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallhu alaihi wasallam, Nabiyyul Rahmah, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan salamah,juga berkat di dunia dan akhirat.

Begitu juga kita ucapkan kepada keluarga baginda al-itrul Mutohharah dan kepada para sahabat baginda keseluruhannya serta mereka yang mengikuti susur jalur perjuangan baginda yang penuh bersejarah tanpa penat dan lelah sehingga tibanya al-Qiyamah.

Sahabat-sahabat dan sahabiah-sahabiah rakan seperjuangan sekalian,
Mewakili Saf – saf kepimpinan Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan, mengucapkan Salam Aidilfitri, Salam Lebaran dan Salam perjuangan kepada seluruh pelajar Kelantan dan seluruh umat Islam tidak kira dimana sahaja. Semoga kehadiran Syawal kali ini membawa sejuta makna kepada kita semua.

Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana kita sekali lagi di ketemukan dengan Ramadhan pada kali ini dan InsyaAllah akan menyambut Syawal pada 10hb September ini. Nur Ramadhan yang membawa sejuta makna dan sejuta barakah akan melabuhkan tirainya dengan penuh kesayuan dan kesedihan kerana kita belum tentu dapat bertemu dengan Nur Ramadhan pada tahun mendatang. Semoga kita semua dapat lagi bertemu dengan Ramadhan mendatang. Namun, perginya Ramadhan di ganti dan disusuli dengan keindahan Syawal sebagai tanda kemenangan kepada kita semua setelah kita di tarbiyyah selama sebulan di yang penuh kemuliaan.


Menyemai Ilmu Menabur Bakti

Selama sebulan kita disemai ilmu dan tarbiyyah di bulan Ramadhan dengan penuh keberkatan seperti mendalami ilmu AlQuran, kesabaran, ukhuwwah dan lain-lain. Jika kita lihat banyak pengajaran yang kita perolehi sepanjang bulan ramadhan ini disamping merebut pahala yang berlipat kali ganda serta Lailatul Qadar. Dengan kedatangan Syawal yang mulia ini, marilah kita buktikan segala ilmu yang kita perolehi dan terus beristiqamah mengamalkannya tidak kira dimana sahaja. Jangan hanya dibulan Ramadhan sahaja, tetapi terus menerus pada bulan-bulan mendatang sehingga ia menjadi sebati dengan diri kita.

Selain itu juga, dibulan Ramadhan juga kita dilatih untuk menabur bakti kepada mereka yang memerlukan, tidak kira kepada sesiapa. Ini dapat menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawaduk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah. Nilai – nilai ini wajar diteruskan dan dihayati bersama sempena kita menyambut Syawal yang indah.


Menghayati Makna disebalik Syawal

Marilah kita sama-sama menghayati makna disebalik Syawal yang mulia ini. Bukan hanya menyambutnya dengan kemeriahan sahaja, tetapi harus sedar dan sentiasa muhasabah diri serta tidak lari dari Al-Quran dan sunnah. Janganlah kita menyambut syawal yang indah ini dengan benda-benda atau perkara yang melalaikan tanpa kita sedari. Sentiasalah kita Ingat mengingati sesama kita.

Marilah kita sama-sama menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada perubahan dan keyakinan kita kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini. Bersamalah kita meningkatkan usaha kita kearah menjadikan kita generasi yang mampu membangunkan masyarakat kearah yang lebih baik. Hidup Biar berjasa.

Allahu Akbar..Allahu Akbar.. Allahu Akbar.

Sekian terima Kasih

Menyemai Ilmu Menabur Bakti, Hidup Biar berjasa

Abdullah Muhamad Nawi
Yang Di-Pertua
Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan 2010/2011


Isnin, 22 September 2008

Pena YDP : Refokus Kepada Pembinaan Semula Kader


Assalamualaykum wbt.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyuruh kepada kebajikan, yang menegakkan yang ma’aruf dan mencegah kemungkaran. Itulah golongan orang-orang yang berjaya.”
(Ali-Imran 104)Bersyukur kehadrat Allah kerana mempertemukan kita dalam laman weblog PPIK yang telah diberi sentuhan baru oleh teman-teman penggerak dan daie PPIK. Inilah satu kaedah kita memperbaharui matlamat dan iltizam kita melalui bagaimana kita cuba mewujudkan satu suasana yang lebih baik dari keadaan sebelumnya sebagaimana yang kita dapat lihat melalui weblog persatuan ini.



Begitu juga dengan tugas kita sebagai daie dan sukarelawan pelajar Islam yang seharusnya menjadi pegangan dalam diri kita untuk selalu bermuhasabah dan memperkasakan diri melalui evaluasi terhadap diri sendiri. Iaitu kita perlu mempunyai wawasan yang jelas yang hendak dicapai. Perlu selalu kreatif menentang emosi sendiri dan budaya yang menghalang. Perlu sanggup mengalami apa saja risiko yang menyekat pencapaian wawasan. Perlu selalu melengkapi diri dengan ilmu dan pengalaman supaya ia berkembang menjadi seorang pelajar yang profesional. Perlu sedia melayani pendapat-pendapat yang bercanggah dengan pendapat kita.

Perlu sedia mengubah tindakan dan sikap kalau perubahan itu terarah kepada wawasan dan matlamat. Perlu sedia menundukkan egoisme diri yang sering menepuk dadanya sendiri.Dan perlu pintar mengurus penjadualan dirinya, baik pengurusan fizikal, pengurusan penjadualan mentalnya, pengurusan penjadualan rohaninya mahupun pengurusan penjadualan masa kita. Inilah kaedah terbaik kita membuat muhasabah dan evaluasi diri kita.

Refokus Terhadap Pembangunan PPIK

PPIK yang sudah lama diwujudkan di Kelantan ini amat wajar di saat ini harus diperkasakan semula. Segala kekuatan organisasi ini terletak kepada kesungguhan teman-teman yang berada di pelbagai kampus samada di Kelantan atau luar negeri untuk kita sama-sama menyumbang dalam erti kata apa yang termampu kita sumbangkan untuk PPIK. menyumbang harta, wang, tenaga, idea , ilmu, simpatisme, segalanya memberi manfaat yang besar kepada PPIK untuk memacu ke hadapan menyempurnakan misinya.

Lihat sahaja pencapaian terdahulu yang dibarisi oleh abang-abang kita , dimana mereka menungguguli zaman mereka dengan mempersiapkan diri mereka melalui tarbiyyah PPIK dan PKPIM di alam kampus, kemudian diteruskan pemerkasaan diri di zaman belianya dengan menyertai madrasah ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan akhinya apabila mereka menamatkan pembinaan diri di kedua-dua madrasah ini, akhirnya mereka berada di pelbagai lapangan dan akhirnya berjaya dalam lapangan yang diceburi.

Maka apa yang terbaik ialah kita mula memantapkan semula kegiatan PPIK di kampus samada diperkasakan melalui gabungan dalam Persatuan Kebangsaan pelajar Islam Malaysia (PKPIM) , atau usrah PPIK yang sudah sedia wujud di kampus masing-masing. PPIK juga sedang giat membina generasi baru dengan kekerapan kita mengadakan program pembinaan kaderisasi di peringkat pelajar sekolah menengah di seluruh Kelantan. Oleh itu kita sememangnya memerlukan bantuan daripada teman-teman yang berada di kampus untuk menyummbag apabila pulang ke negeri apabila cuti pengajian.

Kita juga merasa bertuah kerana teman-teman di kampus Kuala Lumpur dan Selangor apabila berjaya menggerakkan aktiviti PPIK di sana melalui koordinator yang dilantik iaitu saudara Shahiran yang dibantu oleh teman-teman lain seperti Aemy Elyani, Aisy, Azmiza, dan lain-lain.

PPIK di ruangan Siber

Alhamdulillah , laman weblog PPIK yang sedikit masa dahulu "menyepi" kini diberi sentuhan baru apabila laman weblog ini dikendalikan oleh teman-teman di pelbagai kampus yang akan berkongsi pengalaman, laporan aktiviti kampus, idea, bahan tarbiyyah dan lain-lain. Editor-editor weblog ini terdiri daripada Shahiran (KUIS) Aemy Elyani (UIAM), Aisy Anuarin (UIAM) , Kamil halim (Universiti Of Korea) , Azmiza (FEDEC ABIM) dan insya Allah, ahli editor akan ditambah mengikut zon mereka berada.

PPIK juga mewujudkan ruangan Forum Siber - Usrah Online yang menjadi medium untuk kita berkongsi idea, ilmu, pendapat dan lain-lain walaupun kita masing-masing berada di tempat yang berbeza. Saya anggap ini satu permulaan yang baik. Tidak mustahil, di satu masa akan datang, ruangan siber ini akan kita manfaatkan untuk berdiskusi secara maya di ruangan "chatting room" mengikut hari-hari yang ditetapkan.

Insya Allah, semoga kita dapat sama-sama memanfaatkan ruang yang ada ini untuk diterjemahkan sebagai sebahagian daripada amal ibadah kita yang akan dinilai oleh Allah. Semoga kita dapat mengmbil peluang dan kesempatan ini untuk menzahirkan apa yang di garap dalam misi dan visi yang ditetapkan oleh PPIK.

Saya mengajak teman-teman agar cernakan idea melalui gerak daya , dunia yang global disulami deras arus perdana sentiasa merindukan pemikiran baru yang ideal seperti anda semua, sekalung penghargaan dan salam perjuangan.

Al Faqir il Allah

Faizul Afzan (Fatih)
Pemangku YDP PPIK

Tips : Kenapa perlu Menyertai PPIK ?

Melaksanakan tugas amar ma’aruf nahi mungkar.
Memberi sumbangan yang bererti kepada masyarakat.
Memahami selok-belok dalam berorganisasi.
Memupuk ukhuwah dan silaturrahim serta semangat kerjasama dan toleransi.
Mempelajari pelbagai cara berinteraksi yang berkesan.
Melatih dan membina ketokohan diri bagi memimpin.
Melatih diri bagi menjadi seorang yang berdisiplin dan bertanggungjawab.
Membentuk pemikiran yang proaktif, optimis serta projektif.
Menghargai masa.


Khamis, 18 September 2008

Bengkel Aktifkan Ramadhanmu - Catatan YDP PPIK


Catatan YDP PPIK , akhie Faizul Afzan mengendalikan Bengkel Aktifkan Ramadhanmu di USM Kampus Kesihatan Kubang Kerian . Blog beliau boleh di layari di : http://penafatih.blogspot.com

_______________________________________________________


Dr. Wan Nudri Wan Daud memberikan ucapan perasmian.

10 September 2008 : Alhamdulillah, Iftar Jamaie dan Bengkel Aktifkan Ramadhanmu ternyata memberiikan satu pengalaman menarik yang boleh dikongsi. Kehadiran peserta-peserta pelbagai kaum yang memenuhi dewan aerobik Kompleks Sukan USM memberikan satu kelainan dalam bengkel penghayatan Ramadhan berbanding yang pernah saya ikuti sebelum ini di tempat lain. Majlis ini merupakan kali pertama dianjurkan oleh Skuad Kerohanian Batch, Persatuan Pelajar Sains Kesihatan (PPSK) dengan kerjasama Pusat Islam USM Kubang Kerian. Pihak penganjur telah mengundang saya bersama sahabat-sahabat Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Kelantan dan Islamic Outreach ABIM Kelantan untuk mengendalikan bengkel Aktifkan Ramadhanmu di dewan ini. Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Islam USM Kubang Kerian , Dr. Wan Nudri bin Wan Daud.

Saya kagum dengan "sahabat-sahabat" baru saya dari non-muslim yang memberikan penghomatan dan komitmen untuk menghadiri bengkel ini tanpa ada rasa kejanggalan walau sedikitpun. Bahkan komitmen mereka sangat menghidupkan suasana lebih-lebih lagi semasa program LDK. Saya memulakan bengkel dengan mengalu-alukan teman-teman kepelbagaian ini supaya menganggap pertemuan hari ini sebagai pertemuan yang unik yang akan menzahirkan tautan persaudaraan dan kemesraan yang saya sandarkan melalui maksud surah

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)." - Surah Al-Hujurat : 13.

Saya memulakan bengkel dengan membawa audien menghayati 5 tindakan asas yang menjadi fitrah semua manusia iaitu :

A. Kekuatan Diri (personnal Strengh)
1. Penetapan Matlamat (Mission Statement)
- Tentukan niat dan matlamat hidup .

2. Membangunkan Karekter diri (Charecter Building)
- Karekter diri yang baik seperti tekun,prihatin, sopan, rendah diri, toleransi dan lain2.

3. Kendalian Diri (self Control)
- Cari kemahiran-kemahiran yang boleh memantapkan diri seperti kemahiran fizikal dan mental.

B. Pembangunan Masyarakat (Sosial
4. Kerjasama Strategik (Stretegic Colabboration)
Kena wujudkankan kerjasama dan bersatu untuk membina masyarakat yang lebih baik seperti kesatuan masyarakat, membangun ekonomi masyarakat dan lain2.

5. Hasilkan (perbanyakkan) tindakan (Total Action)
- Melalui kesatuan masyarakat, perbanyakkan tindakan-tindakan yang akan memberikan kebaikan kepada masyarakat seperti membantu mereka yang susah, mencegah keburukan secara bersama, membina peradaban dan tamaddun secara seimbang dan lain-lain.


Kelima-lima tindakan asas di atas inilah yang secara logiknya, semua manusia telah amalkan tanpa mengira bangsa dan agama, semua melakukan kelima-lima di atas sebagai panduan asas sebagai seorang manusia dalam hidup bermasyarakat. Inilah fitrah manusia. Kalau tidak melakukan kelima-lima di atas , nescaya pincanglah hidup sebagai seorang manusia.



Kemudian saya cuba kaitkan 5 tindakan asas di atas dengan Prinsip Rukun Islam yang dihayati oleh umat Islam iaiatu syahadat, solat, puasa , zakat dan Haji :

- Mengucapkan dua kalimah syahadat dan niat kerana Allah merupakan penetapan matlamat (mission Statement) orang Islam sebagai khalifah di muka bumi.
- Akhlak dalam solat seperti tekun, khusyuk, fokus, positif, rendah diri, dan lain-lain merupakan latihan kepada umat Islam yang wajib dizahirkan dalam realiti kehidupan sebagai pembinaan karakter diri yang mempunyai akhlak yang mulia.
- Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan satu-satunya latihan secara langsung dari Allah kepada oang Islam untuk melatih kendalian diri (self control) yang bukan sahaja hanya mengawal fizikal (dari makan dan minum), malah mental seperti mengawal dan membina kecekapan emosi seperti menahan marah, mengelak dari membuat keburukan dan maksiat dan lain-lain.
- Membayar zakat merupakan satu-satunya kerjasama strategik umat Islam membangunkan ekonomi umat Islam dan membantu meringankan umat yang kesusahan.
- Manakala ibadah Haji dapat digambarkan sebagai aplikasi tindakan diri yang menzahirkan keimanan, akhlak dan kekuatan diri dalam bentuk tindakan. Gambarkan ibdah-ibadah sewaktu menunaikan haji. Melontar Jamrah , Tawaf,wukuf. Semua aktiviti itu menggunakan kudrat fizikal. Jadi dalam kehidupan, Haji digambarkan sebagai Total Action yang diserlah secara fizikal seperti mempertahankan negara, membina tamadun insan dan material seimbang, amal maaruf nahi mungkar, mendidik generasi muda dan sebagainya. Kesemua tindakan ini merupakan tindakan-tindakan yang lahir dari kekuatan iman (suara hati).


Setelah peserta memahami perkaitan di atas barulah saya menerangkan secara detail tentang hikmah berpuasa. Dua Hikmah penting yang cuba saya huraikan tentang puasa iaitu berfungsi untuk menghayati dan merasai keperitan yang ditanggung oleh mereka yang miskin dan mengalami musibah seperti peperangan, bencana, kemiskinan dan sebagainya .


Dan keduanya untuk membina kekuatan, ketahanan, melatih disiplin diri melalui penahanan fizikal dan mental. Sahabat-sahabat boleh melihat secara slaid perbentangan melalui link ini untuk melihat bahan perbentangan (klik di sini). Hasil perbentangan diperhalusi semasa Latihan Dalam kumpulan (LDK).



Alhamdulillah, respon peserta semasa dalam LDK amat positif. Dengan izin Allah, apa yang disampaikan tadi telah menemui titik-titik kebersamaan antara peserta. Ditambah lagi dengan kecekapan fasilitator dari skuad Kerohanian Batch PPSK (Persatuan Pelajar Sains Kesihatan) menambahkan lagi ramuan kemesraan antara mereka semasa berbincang.


Sesiapa sahaja yang berada dalam dewan aerobik USM akan terasa kemanisan perpaduan sesama mereka. Kemesraan sehingga terlupa bahawa peserta akan berbuka puasa selepas itu. Ini satu permulaan yang baik. Bahkan ada diantara mereka (non-muslim) yang mula memahami erti puasa dan ibadah lain umat Islam merasa ia satu pengalaman yang menarik dan akan membantu menerangkan kepada kawan-kawan mereka yang lain tentang input yang mereka terima dalam bengkel ini sebab ada dikalangan mereka yang mempunyai tanggapan yang salah terhadap Islam.



Teringat saya akan ungkapan Pak Ary Ginanjar Agustian (Trainer ESQ Leadership ) semasa saya mengikuti training ESQ dahulu :



Jika dalam buku ini ada Rukun Iman, Islam dan Ihsan,
Bukan beerti ekslusivisme aliran atau agama,
tapi keinginan untuk menyampaikan kebenaran.

Kalau dalam buku ini ada Al-Quran,
Ini bukan untuk golongan (Islam) sahaja,
Tapi untuk seluruh umat manusia.

Bukan Al-Quran untuk Islam,
Bukan Dunia untuk Islam,
Tapi Al-Quran dan Islam untuk Dunia,
Islam merindukan perdamaian dan kebahagian sejati,
Bersama dengan yang lain.



Majlis berakhir dengan iftar jamie (berbuka puasa) di perkarangan pusat Islam USM Kubang Kerian. Semoga program sebegini dapat dimanfaatkan dengan lebih baik lagi di masa hadapan. Dikala negara sedang menghadapi pelbagai isu yang berkaitan sentimen kaum, namun di sini membuktikan bahawa kemesraan dan toleransi antara kaum di Universiti USM amat baik dan hebat!! Semoga USM yang diiktiraf sebagai Universiti APEX kini dapat membuktikan kepada dunia bukan sahaja dari segi kecemerlangan akademik dan pengurusan , malah menonjolkan nilai perpaduan antara kaum yang terunggul di dunia.

Post moterm selepas terawikh

Barisan pemuda yang optimis dengan tanggungjawab.

Srikandi yang komited.

Menerima cenderahati dari penasihat
Skuad Kerohanian Batch PPSK




Selasa, 17 Julai 2007

Warkah Untuk Pelajar Islam


Assalamualaikum…..
salam sejahtera dan salam kasih sayang, Bagaimana keadaan sekarang? Apa saja yang anda sedang hadapi sekarang, hadapilah dengan penuh tabah dan penghayatan. Menghayati sebuah kehidupan yang menjadi medan perhambaan kita kepada Allah. Ya, di sinilah sahaja tempat untuk kita membuktikan kepada Allah bahawa kita adalah hamba ciptaanNya dengan melakukan yang terbaik dalam semua bidang. Akhlak yang paling indah, bicara paling manis, ibadah penuh penghayatan, kerja lengkap dan sempurna! Sebelum saya meneruskan warkah ini, saya ingin berkongsi tentang salah satu daripada hukum fizik iaitu hokum prinsip keabadian momentum.

Prinsip keabadian momentum menjelaskan, momentum pergerakan sebuah kereta sebelum perlanggaran adalah sama dengan selepas perlanggaran. Bola yang dilantun ke dinding akan kembali ketempat asalnya. Kecuali momentum tenaga kinetik itu diganggu oleh daya luar seperti udara atau objek luar. Teringat saya akan kata-kata salah seorang daripada pendidik kepada saya, 'tujuan kita mempelajari sains adalah untuk kita menterjemahkan kehidupan dan ciptaan Allah ini, Saya cuba menterjemahkannya… Saya ambil satu hukum fizik. Hukum prinsip keabadian momentum. Momentum ini saya terjemahklan kedalam prinsip sesebuah kehidupan atau saya memperkenalkannya sebagai momentum X.

Pada asalnya fitrah manusia adalah suci,bersih, sukakan kebaikan, bencikan keburukan, taat kepada tuhan dan menghayati segala sifat yang baik. Fitrah itu adalah keadaan momentum asal manusia.Dan sepatutnya, 'kinetik' momentum fitrah sebelum lahir dan selepas lahir adalah sama jika tiada daya luar yang memesongkan arah momentum X. Oleh itu momentum X adalah kehidupan yang boleh berubah-ubah kerana terpengaruh dengan daya luar. Anda adalah manusia.Manusia adalah makhluk terbaik di alam raya ini.Manusia mempunyai akal yang memerlukan makanannya iaitu ilmu, mempunyai roh yang memerlukan makanannya iaitu ibadah, dan mempunyai jasad yang memerlukan makanannya iaitu apa yang kita makan setiap hari.Itulah anda yang sedang menatap catatan ini.Anda mempunyai akal,roh dan jasad yang masing-masing memerlukan makanannya.

Dalam catatan ini, semestinya anda faham tentang kedudukan anda dalam kehidupan ini.Anda adalah makhluk terbaik.Anda telah dilantik menjadi Khalifah Allah di muka bumi ini.Anda sedar atau tidak,itulah hakikatnya. Tetapi,siapa saja yang dilantik memegang apa-apa jawatan,ia akan disertakan dengan disiplin peraturan dan undang-undang yang mesti dipatuhi.Apabila pegawai yang dilantik itu sendiri melanggar disiplin, peraturan dan undang-undang yang ditentukan itu,maka pasti majikan akan mengambil tindakan ke atas pegawainya,atau dipecat langsung. Maka Allah Tuhan Pencipta dan Majikan kepada seluruh alam ini,tentu menurunkan disiplin,peraturan dan undang-undang iaitu Al-Quran,kepada manusia sebagai pegawai-pegawainya untuk dipatuhi dan dikuatkuasakannya.

Apabila manusia sendiri yang melanggarnya,maka tentu manusia itu tidak layak lagi menjadi khalifahnya.Dengan kata lain,tugas kekhalifannya itu hanya layak dipegang oleh orang-orang Islam dan mereka yang beriman. Tugas khalifah menjurus menyatukan dan bukan memecah-belahkan.Dia sedar bahawa tugasnya ialah warisan para nabi.Dia tahu bahawa kewajipannya adalah amanah daripada Allah. Dia insaf kesemua itu. Pelajar Islam juga sedar dan insaf bahawa segala-galanya itu amat sukar dan memenatkan dirinya.Tetapi cintanya kepada kepada Allah Tuhannya mampu mengalahkan segala halangan.Dia tahu bahawa perjalanannya penuh duri dan ranjau tetapi keyakinannya tentang balasan dan ganjaran Allah di akhirat nanti lebih kuat dan tebal menguasai dirinya.Dia amat faham,hidupnya di dunia hanyalah satu persinggahan dalam perjalanan yang jauh.Hidupnya di dunia ini hanyalah satu persinggahan untuk mencari bekal perjalanannya bila tiba masanya nanti.

Untuk persiapan itulah dia bekerja kuat sekarang.Dia sanggup mengekang mata-adakalanya tidak tidur sepicing pun untuk mengumpulkan bekalan dalam perjalanannya nanti. Dia bersedia berpisah dan bertemu dengan sesiapa sahaja demi bekalan yang diperlukan.Dia yakin,sesal kemudian tidak berguna,sedar sekarang lebih bermakna-sekali pun terpaksa meminggirkan kerehatannya sendiri.Bahkan dia tahu bahawa rehat masa muda bererti mesti berpenat masa tua. Bersenang-senang dahulu bermakna bersusah-susah kemudian. Justeru itu,anda akan melihat pelajar muslim atau muslimah itu sentiasa bekerja keras sepanjang hidupnya. Apabila dia bekerja,dia tekun dalam kerjanya. Apabila dia belajar,dia gigih dalam pelajarannya. Dan apabila dia bertindak berhati-hati dalam tindakannya. Anda akan melihat pelajar mukmin/mukminah itu sentiasa gembira dengan tugasnya, bahagia dengan kewajipannya. Masanya terisi penuh dengan kerja-kerja berfaedah.Kerja-kerjanya teradun indah mengikut keutamaan.Tugasnya yang banyak tidak menghalangnya untuk senyum dan senda gurau yang benar.

Anda akan melihat pelajar mukmin atau mukminah itu sentiasa faham tanggungjawab dan tugasnya terhadap agamanya, ibubapanya, guru-gurunya, saudara seaqidahnya,sahabat handainya, jiran tetangganya dan alam sekitarnya. Dan dia sedar bahawa kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada. Lalu dia tidak membuang masa percuma,menghabis waktu sia-sia.Diaturnya tugas yang banyak mengikut keutamaan dan menurut kesesuaian masa yang ada. Adakalanya dia terpaksa belajar bagaimana untuk belajar dengan cara yang betul dan cemerlang. Dia terpaksa belajar teknik belajar. Belajar mengagihkan masa yang ada. Belajar mengatur jadual peribadi. Belajar mengenali kelemahan diri. Dan kekadangnya terpaksa mencari kelemahannya melalui jendela sahabat dan cermin diri saudaranya. Kelemahan-kelemahan itu dikumpulkan untuk diperbaiki.

Pelajar mukmin atau mukminah amat arif dan faham bahawa setiap insan pasti ada kelemahannya dan pasti ada salah silapnya.Bumi mana yang tidak diimpa hujan.Dia juga tahu bahawa setiap insan dilahirkan dalam serba tidak mengerti selain tangisan.Manalah ada manusia yang lahir menjadi alim dan berpengalaman tanpa belajar gigih dan menempuh zaman?! Adakalanya pelajar muslim atau muslimah itu terpaksa menempuh ujian getir dalam usahanya membina diri. Dia terpaksa membuta mata, memekak telinga dan mengelu lidah terhadap karenah orang-orang kecil sekitarnya. Dia terpaksa menanggung berbagai-bagai penderitaan yang perit untuk menjadi insan yang positif. Tidak sedikit dia menerima ejekan kawan sepermainan, cemuhan teman sepengajian,dan lebih berat daripada itu ialah racun, duri dan ranjau yang ditabur oleh orang yang menjadi tempat pergantungannya.

Namun,dia bersedia menempuh ujian itu. Katanya,manalah ada wau yang naik tinggi menegak tanpa merempuh angin. Dia ingat bahawa cara terbaik mengatasinya ialah merempuhnya, bukan lari daripadanya. Kalaupun masih ada lidah-lidah panjang yang mengejeknya,bibir-bibir lebar yang mencemiknya, atau hati-hati kotor yang dengki kepadanya….dia akan bangkit mengatakan: ejeklah semahumu, cemuhlah sekehendakmu dan dengkilah selautan hatimu,aku tetap dengan prinsipku; mengenali diri membaikinya dan maju bersama azamku meninggalkan kamu di belakang menggigit jari kekesalan.

Pelajar Islam sekalian,

Renungilah Kata Imam Hasan Al Hudhaibi-Mursyidul Am Kedua Pergerakan Islam Ikhwan Muslimin-Mesir, “Kenalilah Tuhanmu,perbaikilah dirimu,ajaklah orang lain bersamamu, tegakkan Negara Islam dalam hati / dirimu, pasti ia akan tegak nyata di atas bumimu.

Nukilan daripada,
Mohd Faizul Afzan Bin Mamat
Setiausaha,
Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan

http://faizulafzan.blogspot.com
http://ppik-kelantan.blogspot.com




STRATEGI DAN PELAN TINDAKAN PELAJAR ISLAM


MENGUASAI BAHASA ARAB

Para pelajar Islam disarankan agar mereka mempelajari dan menguasai bahasa arab dengan pelbagai cara samaada mengambil kursus di IPTA, maktab, sekolah atau di mana-mana sahaja. Ini kerana bahasa arab merupakan alat untuk memperdalamkan dan memahami Al-Quran dan Al-Hadith serta ilmu-ilmu syara'.


MENGUASAI KEPELBAGAIAN BAHASA

Pelajar Islam juga disarankan menguasai kepelbagaian bahasa seperti bahasa Inggeris, Mandarin dan lain-lain. Penguasaan kepelbagaian bahasa terutamanya bahasa Inggeris merupakan satu kelebihan kepada pelajar Islam untuk berkomunikasi dengan masyarakat di seluruh dunia disamping dapat menguasai kepelbagaian ilmu samaada ilmu sains teknologi dan sebagainya.


MENGHAYATI AL-QURAN DAN HADIS

Pelajar Islam Perlu mendekati Al-Quran,membaca dan mentadabbur Al-Quran serta hadith-hadith Rasulullah SAW. Sekurang-kurangnya hadith 40 dari Imam Nawawi. Ini kerana Al-Quran dan hadith merupakan sumber ilmu yang bersih serta menjadi panduan buat kita dalam melaksanakan seluruh gerak hidup kita di dunia.


MEMBACA DAN MENGKAJI BUKU-BUKU FIKRAH ISLAMIYYAH

Para pelajar Islam dinasihatkan agar banyak membaca buku-buku asas Islam yang ditulis oleh ulama' mu'tabar seperti cara hidup Islam (Al-Maududi), Dasar-Dasar Ilmu dakwah (Dr Abd Karim Zaidan), Apa ertinya saya menganut Islam (Dr Fathi Yakan) dan sebagainya. Para pelajar juga perlu mempelajari serta membaca buku-buku berkaitan sirah Rasulullah SAW dan par sahabat. Moga-moga dengan demikian para pelajar dapat menguasai dan mempraktikkan cara hidup sebagai pelajar muslim dalam erti kata sebenar.

MENDALAMI ILMU FIQH DAN TAUHID

Para pelajar mestilah mempelajari ilmu-ilmu berkaitan dengan tauhid dan akidah serta ilmu feqah Islam agar sentiasa berada di atas landasan aqidah dan keimanan yang betul serta mempunyai panduan ibadah yang secukupnya.Para pelajar diharapkan membaca majalah-majalah Islam untuk mengetahui perkembangan-perkembangan negara dan umat Islam.


MENGIKUT PROGRAM TARBIAH

Meletakkan diri dalam sistem tarbiah (pendidikan) Islam berasaskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT adalah suatu kemestian buat para pelajar hari ini.Tanpa tarbiah (Pendidikan Islam)nescaya para pelajar akan hilang panduan serta pegangan. Oleh itu hanya sistem tarbiah Islam yang mampu melahirkan para pelajar yang iltizam dan berpegang teguh dengan ajaran Allah dan Rasul-Nya.


MENGUASAI BIDANG-BIDANG PENGKHUSUSAN

Menguasai bidang pengkhususan dan kepakaran seperti kedoktoran,kejuruteraan, teknologi maklumat, ekonomi perniagaan dengan menggunakan kaedah belajar sistematik dan berkesan. Cara belajar sistematik merangkumi belajar secara berkumpulan, hadir ke kelas 100%,sentiasa berjumpa dan berbincang dengan guru/pensyarah apabila menghadapi masalah dalam pelajaran, mempunyai jadual waktu belajar, menyiapkan kerja samaada assignment kelas dan lain-lain dalam masa yang ditetapkan, memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran, bersahabat dengan pelajar muslim yang pintar, mengadakan diskusi dengan pelajar cerdik serta mengulangkaji semua mata pelajaran yang dipelajari.


BERDOA DAN BERTAWAKKAL

Akhirnya para pelajar Islam disarankan agar sentiasa membersihkan diri dan hati serta sentiasa menjaga hubungan dengan ALlah SWT agar ilmu yang dipelajari menapak difikiran dan hati. Para pelajar juga hendaklah berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT.

"Kebenaran yang tidak berperancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yang berperancangan dan tersusun rapi."

-Saidina Ali Kwj-


 

Laman Pelajar Islam Kelantan | PPIK Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | by Media PPIK.