Jumaat, 25 Jun 2010

PKPIM anjur Program Perkampungan Menara Gading Kebangsaan 2010 (PMGK’10)



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia PKPIM) akan menganjurkan Program Perkampungan Menara Gading Kebangsaan 2010 (PMGK’10) pada 25-27 Jun 2010 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

PMGK’10 ini bertujuan untuk melatih generasi mahasiswa agar bersifat dinamik dan progresif sebagai persediaan untuk kepimpinan negara pada masa akan datang. Hasrat ini dilaksanakan dengan meletakkan tradisi budaya ilmu sebagai pra-syarat penting ke arah pembinaan sahsiah yang unggul, pembentukan bangsa yang mapan dan pembinaan tamadun yang tinggi.

Dalam pada itu, ia juga dilaksanakan untuk membantu mendedahkan kepada para pelajar tentang kehidupan di kampus serta memupuk sahsiah yang tinggi dengan memiliki matlamat yang jelas dan mampu untuk membangunkan diri, keluarga dan negara berlandaskan kefahaman dan penghayatan Islam yang syumul. Baca seterusnya..



Sementara itu, PMGK’10 yang bertemakan “Ke arah Keunggulan Keperibadian Mahasiswa” ini akan menghimpunkan lebih dari 150 peserta yang terdiri dari pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM 2009 yang akan melanjutkan pelajaran ke IPTA dan IPTS.

Bagi memastikan program ini berjaya mengubah paradigma para pelajar ke arah yang lebih positif seiring dengan arus pembangunan dan perkembangan intelektual pada hari ini, mereka akan disajikan dengan beberapa slot pengisian ceramah dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) oleh pelatih yang berpengalaman.

Bagi yang berminat untuk menyertai program ini boleh terus berhubung melalui pihak jawatankuasa program Sheril Aida Sulainan di talian 0132770051 atau Nur Azimah Mansur 013-3746380.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM berharap penglibatan dari para pelajar akan dapat bersama-sama membantu mencapai objektif penganjuran Program Perkampungan Menara Gading Kebangsaan 2010 (PMGK’10) ini.


*TENTATIF PROGRAM

JUMAAT

5.00 petang : Pendaftaran dan Penginapan peserta

: Persediaan kendiri

7.00 malam : Solat Maghrib berjamaah

: Taklimat Program

: Solat Isya’ Bersama

: Makan

9.00 malam : Majlis Perasmian

Oleh :

1) Tuan Haji Irmo Hizam Ibrahim, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia

2) Hasnul Haniff Bin Harun, Naib Presiden Kebangsaan PKPIM

10.00 malam : Ice Breaking

11.00 malam : LDK 1; Taaruf

11.30 malam : Minum malam

: Rehlah Gelombang Minda



SABTU

4.30 pagi : Persediaan kendiri

: Qiyamulail

5.45 pagi : Solat Subuh

: Kuliah Subuh

7.00 pagi : Riadhah; Team Building

8.15 pagi : Persediaan kendiri

: Sarapan pagi

9.00 pagi : Slot 1: Universiti kehidupan

Saudara Noryzal Zainal Abidin, Exco Latihan & Pembangunan,

ABIM Pusat 09/10

10.30 pagi : Minum pagi & Solat Dhuha

11.00 pagi : LDK 2: Campus Life (Kehidupan Kampus); Cabaran Masa Depan

1.00 petang : Makan tengahari

1.30 petang : Solat Zohor Berjamaah.

2.00 petang : Explorace (Jelajah: Belajar dari Alam)

4.00 Petang : LDK 3; Analisis Explorace

4.30 Petang : Minum Petang & Solat Asar Berjamaah.

5.00 Petang : Pembentangan berkumpulan

6.15 Petang : Persediaan kendiri

6.30 Petang : Makan Malam

7.30 Petang : Solat Maghrib berJamaah.

: Kuliah Maghrib

: Solat Isya’ Berjamaah

9.00 Malam : Forum Aspirasi Ilmu; ‘Ilmu: Makna, Kedudukan dan Aplikasi’

Oleh : Panelis

- Saudara Abu Qassim Nor Azmi (Naib Presiden Antarabangsa, PKPIM)

- Dr. Mohd Yusof Haji Othman (Pengarah Institut HADHARI,UKM)

- Dr Alinor Bin Abdul Kadir, (Pensyarah Fakulti Sains & Teknologi,UKM)

Moderator

- Ahmad Fahmi Samsudin (Exco PKPIM)

10.45 Malam : Minum Malam

11.00 Malam : Kembara Malam



AHAD

5.00 Pagi : Persediaan kendiri

: Solat Subuh / Mathurat

: Kuliah Subuh

7.00 Pagi : Riadah & Kendiri

8.00 Pagi : Sarapan Pagi

8.30 Pagi : LDK 4; Perancangan untuk Akhirat

10.00 Pagi : Minum Pagi & Solat Dhuha

10.15 Pagi : Resolusi

12.00 Tgh/hari : Majlis Penutup

Oleh: Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden PKPIM

1. 00 Petang : Noktah Menara

: Makan Tengahari

: Solat Zohor

: Bersurai.

* Tertakluk kepada perubahan semasa.


Khamis, 24 Jun 2010

PKPIM Pimpin Pelajar Islam Asia Tenggara


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) telah diberi kepercayaan untuk memimpin seluruh pelajar Islam Asia Tenggara apabila Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) bagi sesi 2010-2012 bagi menggantikan mantan Ketua Umum Pelajar Islam Indonesia (PII), M. Zaid Makarma.

Perlantikan ini dibuat secara rasmi dalam KONVENSYEN PEPIAT 2010 dan BENGKEL STRATEGIK PELAJAR ISLAM ASIA TENGGARA yang diadakan baru-baru ini iaitu pada 24-25 Mei 2010 di Hotel Equatorial, Bangi.

Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) adalah sebuah organisasi yang menghimpunkan persatuan pelajar Islam yang utama dari negara-negara di Asia Tenggara. Sehingga April 2010, PEPIAT telah dianggotai oleh Malaysia - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Indonesia -Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) dan Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), Singapura -  Federation of Muslim Students Association (FMSA) dan National University of Singapore Muslim Students (NUSMS), Thailand - Thailand Muslim Students Association (TAMSA), Kemboja - Persatuan Pelajar Muslim Kemboja (CAMSA), dan Myammar - Myammar Muslim Students Association. Baca Seterusnya...

Sementara itu, Konvensyen Pelajar Islam Asia Tenggara ini telah dilaksanakan berserta dengan penganjuran Seminar Antarabangsa Urus Tadbir Tayyib (Good Governance) dan Forum Belia Antarabangsa: “Prinsip dan Amalan Demokrasi Islami di Asia Tenggara: Kebangkitan Generasi Al-Fallah” yang mengupas dengan tuntas berkenaan dengan prinsip Islam dan demokrasi.

Dalam pada itu, dalam ucapan penangguhan Setiausaha Agung PEPIAT, Muhammad Faisal Abdul Aziz sejurus selepas pelantikan menegaskan bahawa PKPIM optimis untuk menggerakkan PEPIAT menerusi gagasan idea “Wahdah Madaniyyah” atau “penyatuan madaniyy” sebagai satu tawaran tuntas buat seluruh Umat Asia Tenggara.

Kesatuan ini menurutnya merupakan satu kesatuan yang ideal yang mendokong cita-cita ketamadunan Umat yang seharusnya digarap oleh seluruh pendokong gerakan dakwah serantau sebagai suatu mekanisme baru pemulihan Islam secara “zahiriyyah” dan “ghayah”.

Menurut beliau juga, Kesatuan Madaniyy yang ditawarkan PKPIM ini juga bersifat mendokong kesatuan yang paksinya adalah nilai ilmu, pendidikan-ta’dib, peradaban, ketamadunan, kehalusan tatasusila, dan kebudayaan luhur kearah untuk membentuk susanan umat Asia Tenggara yang teratur dan tertib di bawah kawalan hukum undang-undang tuhan.

Sementara itu, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM Abu Qassim Nor Azmi dan Setiausaha Agung Khairul Anuar Musa telah dilantik untuk memangku dua jawatan Penolong Setiausaha Agung PEPIAT sebelum satu kongres rasmi diadakan untuk memperhalusi perihal dalaman PEPIAT seperti perlembagaan persatuan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM akan memulakan lawatan rasmi beberapa negara anggota termasuk Indonesia dan Thailand menjelang bulan Jun ini sebagai gerak kerja baru untuk perkukuh persefahaman di samping meneliti beberapa cabaran dan permasalahan yang dihadapi oleh gerakan Islam di kedua-dua wilayah berkenaan.


6 RESOLUSI FORUM “KEADILAN UNTUK ADIK AMINULRASYID”


KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

5 Mei 2010/ 20 Jamadil Awwal 1431 H


Forum “Keadilan untuk adik Aminulrasyid” anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH) yang berlangsung pada 4 Mei 2010 di Kuala Lumpur telah berjaya mencapai enam resolusi.

Dalam pada itu, Forum “Keadilan untuk adik Aminulrasyid” tersebut telah menampilkan tiga orang panel jemputan. Mereka adalah N. Surendran, Peguam Keluarga Aminulrasyid, Raja Badrol Hisham, Pensyarah Undang-undang Prosedur Jenayah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), dan Wong Chin Huat dari Civil Rights Committee. Sementara itu, forum yang telah dipengerusikan oleh Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz juga telah dimulakan dengan bacaan puisi “Jeritan Senja September” oleh Sasterawan Negara, Dato A. Samad Said.

Enam resolusi yang dicapai bersama adalah seperti berikut: (Baca seterusnya...)

1) Mendesak pihak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memastikan

siasatan yang adil dan telus.

2) Menggesa dikuatkuasakan Independent Police Complaint & Misconduct

Commission (IPCMC)

3) Menyeru pihak yang terlibat tampil untuk mengakui kesilapan dan memohon maaf

secara terbuka kepada keluarga mangsa.

4) Menuntut pihak media agar memberikan laporan yang tepat dan telus kepada orang

awam.

5) Memastikan wujudnya elemen “semak dan seimbang” terhadap kuasa dan bidang

tugas Kementerian Dalam Negeri (KDN).

6) Mendesak agar Ketua Polis Negara diganti oleh anggota yang lebih berintegriti,

amanah, profesional, dan kredibel demi menjaga nama baik institusi polis.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang hadir memberi sokongan terhadap usaha untuk menegakkan keadilan dan hak asasi rakyat ini.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Presiden,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)


PKPIM BANTAH PEMBERIAN LESEN JUDI PIALA DUNIA


KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

13 Mei 2010/ 28 Jamadil Awwal 1431 H


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada keputusan kerajaan yang telah memberikan lesen pertaruhan judi sempena Piala Dunia 2010 secara rasmi kepada Kumpulan BERJAYA.

PKPIM membantah sekeras-kerasnya pemberian lesen ini memandangkan ia amat bercanggah dengan nilai-nilai murni ketimuran dan akhlak Islam yang didokong oleh masyarakat Malaysia secara umum sekian lama.

Selain itu, PKPIM berpandangan pemberian lesen ini juga akan menggalakkan amalan judi yang tidak terkawal dalam kalangan rakyat Malaysia. Ibarat “mencurah minyak ke atas api yang membara” memberi lesen ini seolah-olah menggalakkan lagi gejala maksiat yang secara terang-terangan membawa kepada permasalahan sosial yang melampau seperti masalah keruntuhan institusi keluarga di mana pengabaian nafkah kepada anak-anak dan isteri akan berlaku dan ini akan menyebabkan keluarga tersebut hidup dalam keadaan kucar-kacir. Baca Seterusnya...

Dalam pada itu, pemberian lesen ini juga akan membawa kepada implikasi peminjaman wang secara haram seperti Along. Maka, ini sedikit sebanyak akan membantutkan usaha kerajaan yang selama ini yang ingin membanteras gejala Along di Malaysia.

Kerajaan juga sepatutunya menjaga sensitiviti masyarakat Islam di mana judi itu sendiri adalah haram di sisi syarak. Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al Maidah ayat 90 yang bermaksud “ Wahai orang-orang Yang beriman, Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Di samping itu, tindakan kerajaan ini juga menunjukkan seolah-olah mereka mahu menghalalkan amalan perjudian di Malaysia sedangkan kebanyakan masyarakat bukan Islam di Malaysia juga tidak bersetuju dengan pemberian lesen judi ini di mana ia lebih mendatangkan kesan negatif berbanding positif.

Justeru, PKPIM dengan ini menggesa dengan tegas agar pihak kerajaan menarik balik lesen pertaruhan yang telah diberikan kepada mana-mana pihak. Selain itu, kami juga menggesa semua pihak khususnya NGO Islam untuk turut menyatakan bantahan secara terbuka bagi memastikan pemberian lesen ini ditarik balik.

Dalam perkembangan berkaitan, kami akan menjalankan kempen benci judi di seluruh negara khususnya dalam kalangan generasi mahasiswa sebagai usaha untuk membentuk kumpulan pendesak bagi memaksa kerajaan menarik balik lesen yang telah diberikan.

KHAIRUL ANUAR BIN MUSA

Setiausaha Agung,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)


PKPIM BANTAH CADANGAN WAJIB TAMIL & MANDARIN DI SEKOLAH


KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

14 Jun 2010/ 2 Rejab 1431 H


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada permintaan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas supaya bahasa Mandarin dan Tamil dijadikan subjek wajib dalam sistem pendidikan negara bagi menggambarkan gagasan 1 Malaysia.

PKPIM berpandangan bahawa permintaan untuk mewajibkan dua bahasa tersebut di sekolah kebangsaan menerusi sistem pendidikan kebangsaan adalah tidak wajar dan ianya masih terlalu awal untuk dilaksanakan. Ini memandangkan tahap penguasaan bahasa kebangsaan sendiri dalam kalangan pelajar sekolah khususnya di sekolah jenis kebangsaan masih di peringkat yang tidak memuaskan.

Dalam pada itu, selepas lebih lima dekad kita membangunkan negara menerusi aliran pendidikan kebangsaan yang mendokong bahasa Melayu sebagai bahasa teras yang turut didokong Perlembagaan Persekutuan, nilai dan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan tertinggi dalam negara masih gagal dihayati dan difahami para pelajar.


Menurut Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan, telah memperuntukkan dengan jelas bahawa perkara-perkara yang melibatkan pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam korikulum kebangsaan yang diuruskan Kementerian Pelajaran adalah bagi maksud rasmi dan wajib digunakan bahasa Kebangsaan.


Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dalam Seminar Sehari Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) baru-baru ini, 44.8% remaja Cina tidak suka belajar bahasa Melayu. Selain daripada itu, kajian tersebut juga mendapati bahawa 72.1% remaja Cina merasakan bahasa Melayu tidak penting, diikuti oleh Kadazan (40%) dan India (37%).

Namun, PKPIM menyambut baik cadangan untuk subjek berkenaan dijadikan sebagai subjek wajib sekiranya tahap penguasaan bahasa Kebangsaan dalam kalangan pelajar sekolah semua kaum sudah berada pada tahap yang terbaik dan memuaskan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga menegaskan bahawa teras utama gagasan satu Malaysia adalah satu bahasa yang mendokong bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan bukan gagasan yang mencampuradukkan pelbagai bahasa sepertimana yang ditafsirkan oleh sesetengah pihak.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)

Presiden,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)


 

Laman Pelajar Islam Kelantan | PPIK Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | by Media PPIK.