Khamis, 24 Jun 2010

PKPIM BANTAH CADANGAN WAJIB TAMIL & MANDARIN DI SEKOLAH


KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

14 Jun 2010/ 2 Rejab 1431 H


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada permintaan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas supaya bahasa Mandarin dan Tamil dijadikan subjek wajib dalam sistem pendidikan negara bagi menggambarkan gagasan 1 Malaysia.

PKPIM berpandangan bahawa permintaan untuk mewajibkan dua bahasa tersebut di sekolah kebangsaan menerusi sistem pendidikan kebangsaan adalah tidak wajar dan ianya masih terlalu awal untuk dilaksanakan. Ini memandangkan tahap penguasaan bahasa kebangsaan sendiri dalam kalangan pelajar sekolah khususnya di sekolah jenis kebangsaan masih di peringkat yang tidak memuaskan.

Dalam pada itu, selepas lebih lima dekad kita membangunkan negara menerusi aliran pendidikan kebangsaan yang mendokong bahasa Melayu sebagai bahasa teras yang turut didokong Perlembagaan Persekutuan, nilai dan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan tertinggi dalam negara masih gagal dihayati dan difahami para pelajar.


Menurut Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan, telah memperuntukkan dengan jelas bahawa perkara-perkara yang melibatkan pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam korikulum kebangsaan yang diuruskan Kementerian Pelajaran adalah bagi maksud rasmi dan wajib digunakan bahasa Kebangsaan.


Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dalam Seminar Sehari Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) baru-baru ini, 44.8% remaja Cina tidak suka belajar bahasa Melayu. Selain daripada itu, kajian tersebut juga mendapati bahawa 72.1% remaja Cina merasakan bahasa Melayu tidak penting, diikuti oleh Kadazan (40%) dan India (37%).

Namun, PKPIM menyambut baik cadangan untuk subjek berkenaan dijadikan sebagai subjek wajib sekiranya tahap penguasaan bahasa Kebangsaan dalam kalangan pelajar sekolah semua kaum sudah berada pada tahap yang terbaik dan memuaskan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga menegaskan bahawa teras utama gagasan satu Malaysia adalah satu bahasa yang mendokong bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan bukan gagasan yang mencampuradukkan pelbagai bahasa sepertimana yang ditafsirkan oleh sesetengah pihak.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)

Presiden,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

 

Laman Pelajar Islam Kelantan | PPIK Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | by Media PPIK.