Selasa, 17 Julai 2007

STRATEGI DAN PELAN TINDAKAN PELAJAR ISLAM


MENGUASAI BAHASA ARAB

Para pelajar Islam disarankan agar mereka mempelajari dan menguasai bahasa arab dengan pelbagai cara samaada mengambil kursus di IPTA, maktab, sekolah atau di mana-mana sahaja. Ini kerana bahasa arab merupakan alat untuk memperdalamkan dan memahami Al-Quran dan Al-Hadith serta ilmu-ilmu syara'.


MENGUASAI KEPELBAGAIAN BAHASA

Pelajar Islam juga disarankan menguasai kepelbagaian bahasa seperti bahasa Inggeris, Mandarin dan lain-lain. Penguasaan kepelbagaian bahasa terutamanya bahasa Inggeris merupakan satu kelebihan kepada pelajar Islam untuk berkomunikasi dengan masyarakat di seluruh dunia disamping dapat menguasai kepelbagaian ilmu samaada ilmu sains teknologi dan sebagainya.


MENGHAYATI AL-QURAN DAN HADIS

Pelajar Islam Perlu mendekati Al-Quran,membaca dan mentadabbur Al-Quran serta hadith-hadith Rasulullah SAW. Sekurang-kurangnya hadith 40 dari Imam Nawawi. Ini kerana Al-Quran dan hadith merupakan sumber ilmu yang bersih serta menjadi panduan buat kita dalam melaksanakan seluruh gerak hidup kita di dunia.


MEMBACA DAN MENGKAJI BUKU-BUKU FIKRAH ISLAMIYYAH

Para pelajar Islam dinasihatkan agar banyak membaca buku-buku asas Islam yang ditulis oleh ulama' mu'tabar seperti cara hidup Islam (Al-Maududi), Dasar-Dasar Ilmu dakwah (Dr Abd Karim Zaidan), Apa ertinya saya menganut Islam (Dr Fathi Yakan) dan sebagainya. Para pelajar juga perlu mempelajari serta membaca buku-buku berkaitan sirah Rasulullah SAW dan par sahabat. Moga-moga dengan demikian para pelajar dapat menguasai dan mempraktikkan cara hidup sebagai pelajar muslim dalam erti kata sebenar.

MENDALAMI ILMU FIQH DAN TAUHID

Para pelajar mestilah mempelajari ilmu-ilmu berkaitan dengan tauhid dan akidah serta ilmu feqah Islam agar sentiasa berada di atas landasan aqidah dan keimanan yang betul serta mempunyai panduan ibadah yang secukupnya.Para pelajar diharapkan membaca majalah-majalah Islam untuk mengetahui perkembangan-perkembangan negara dan umat Islam.


MENGIKUT PROGRAM TARBIAH

Meletakkan diri dalam sistem tarbiah (pendidikan) Islam berasaskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT adalah suatu kemestian buat para pelajar hari ini.Tanpa tarbiah (Pendidikan Islam)nescaya para pelajar akan hilang panduan serta pegangan. Oleh itu hanya sistem tarbiah Islam yang mampu melahirkan para pelajar yang iltizam dan berpegang teguh dengan ajaran Allah dan Rasul-Nya.


MENGUASAI BIDANG-BIDANG PENGKHUSUSAN

Menguasai bidang pengkhususan dan kepakaran seperti kedoktoran,kejuruteraan, teknologi maklumat, ekonomi perniagaan dengan menggunakan kaedah belajar sistematik dan berkesan. Cara belajar sistematik merangkumi belajar secara berkumpulan, hadir ke kelas 100%,sentiasa berjumpa dan berbincang dengan guru/pensyarah apabila menghadapi masalah dalam pelajaran, mempunyai jadual waktu belajar, menyiapkan kerja samaada assignment kelas dan lain-lain dalam masa yang ditetapkan, memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran, bersahabat dengan pelajar muslim yang pintar, mengadakan diskusi dengan pelajar cerdik serta mengulangkaji semua mata pelajaran yang dipelajari.


BERDOA DAN BERTAWAKKAL

Akhirnya para pelajar Islam disarankan agar sentiasa membersihkan diri dan hati serta sentiasa menjaga hubungan dengan ALlah SWT agar ilmu yang dipelajari menapak difikiran dan hati. Para pelajar juga hendaklah berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT.

"Kebenaran yang tidak berperancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yang berperancangan dan tersusun rapi."

-Saidina Ali Kwj-

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

 

Laman Pelajar Islam Kelantan | PPIK Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | by Media PPIK.