Selasa, 17 Julai 2007

Warkah Untuk Pelajar Islam


Assalamualaikum…..
salam sejahtera dan salam kasih sayang, Bagaimana keadaan sekarang? Apa saja yang anda sedang hadapi sekarang, hadapilah dengan penuh tabah dan penghayatan. Menghayati sebuah kehidupan yang menjadi medan perhambaan kita kepada Allah. Ya, di sinilah sahaja tempat untuk kita membuktikan kepada Allah bahawa kita adalah hamba ciptaanNya dengan melakukan yang terbaik dalam semua bidang. Akhlak yang paling indah, bicara paling manis, ibadah penuh penghayatan, kerja lengkap dan sempurna! Sebelum saya meneruskan warkah ini, saya ingin berkongsi tentang salah satu daripada hukum fizik iaitu hokum prinsip keabadian momentum.

Prinsip keabadian momentum menjelaskan, momentum pergerakan sebuah kereta sebelum perlanggaran adalah sama dengan selepas perlanggaran. Bola yang dilantun ke dinding akan kembali ketempat asalnya. Kecuali momentum tenaga kinetik itu diganggu oleh daya luar seperti udara atau objek luar. Teringat saya akan kata-kata salah seorang daripada pendidik kepada saya, 'tujuan kita mempelajari sains adalah untuk kita menterjemahkan kehidupan dan ciptaan Allah ini, Saya cuba menterjemahkannya… Saya ambil satu hukum fizik. Hukum prinsip keabadian momentum. Momentum ini saya terjemahklan kedalam prinsip sesebuah kehidupan atau saya memperkenalkannya sebagai momentum X.

Pada asalnya fitrah manusia adalah suci,bersih, sukakan kebaikan, bencikan keburukan, taat kepada tuhan dan menghayati segala sifat yang baik. Fitrah itu adalah keadaan momentum asal manusia.Dan sepatutnya, 'kinetik' momentum fitrah sebelum lahir dan selepas lahir adalah sama jika tiada daya luar yang memesongkan arah momentum X. Oleh itu momentum X adalah kehidupan yang boleh berubah-ubah kerana terpengaruh dengan daya luar. Anda adalah manusia.Manusia adalah makhluk terbaik di alam raya ini.Manusia mempunyai akal yang memerlukan makanannya iaitu ilmu, mempunyai roh yang memerlukan makanannya iaitu ibadah, dan mempunyai jasad yang memerlukan makanannya iaitu apa yang kita makan setiap hari.Itulah anda yang sedang menatap catatan ini.Anda mempunyai akal,roh dan jasad yang masing-masing memerlukan makanannya.

Dalam catatan ini, semestinya anda faham tentang kedudukan anda dalam kehidupan ini.Anda adalah makhluk terbaik.Anda telah dilantik menjadi Khalifah Allah di muka bumi ini.Anda sedar atau tidak,itulah hakikatnya. Tetapi,siapa saja yang dilantik memegang apa-apa jawatan,ia akan disertakan dengan disiplin peraturan dan undang-undang yang mesti dipatuhi.Apabila pegawai yang dilantik itu sendiri melanggar disiplin, peraturan dan undang-undang yang ditentukan itu,maka pasti majikan akan mengambil tindakan ke atas pegawainya,atau dipecat langsung. Maka Allah Tuhan Pencipta dan Majikan kepada seluruh alam ini,tentu menurunkan disiplin,peraturan dan undang-undang iaitu Al-Quran,kepada manusia sebagai pegawai-pegawainya untuk dipatuhi dan dikuatkuasakannya.

Apabila manusia sendiri yang melanggarnya,maka tentu manusia itu tidak layak lagi menjadi khalifahnya.Dengan kata lain,tugas kekhalifannya itu hanya layak dipegang oleh orang-orang Islam dan mereka yang beriman. Tugas khalifah menjurus menyatukan dan bukan memecah-belahkan.Dia sedar bahawa tugasnya ialah warisan para nabi.Dia tahu bahawa kewajipannya adalah amanah daripada Allah. Dia insaf kesemua itu. Pelajar Islam juga sedar dan insaf bahawa segala-galanya itu amat sukar dan memenatkan dirinya.Tetapi cintanya kepada kepada Allah Tuhannya mampu mengalahkan segala halangan.Dia tahu bahawa perjalanannya penuh duri dan ranjau tetapi keyakinannya tentang balasan dan ganjaran Allah di akhirat nanti lebih kuat dan tebal menguasai dirinya.Dia amat faham,hidupnya di dunia hanyalah satu persinggahan dalam perjalanan yang jauh.Hidupnya di dunia ini hanyalah satu persinggahan untuk mencari bekal perjalanannya bila tiba masanya nanti.

Untuk persiapan itulah dia bekerja kuat sekarang.Dia sanggup mengekang mata-adakalanya tidak tidur sepicing pun untuk mengumpulkan bekalan dalam perjalanannya nanti. Dia bersedia berpisah dan bertemu dengan sesiapa sahaja demi bekalan yang diperlukan.Dia yakin,sesal kemudian tidak berguna,sedar sekarang lebih bermakna-sekali pun terpaksa meminggirkan kerehatannya sendiri.Bahkan dia tahu bahawa rehat masa muda bererti mesti berpenat masa tua. Bersenang-senang dahulu bermakna bersusah-susah kemudian. Justeru itu,anda akan melihat pelajar muslim atau muslimah itu sentiasa bekerja keras sepanjang hidupnya. Apabila dia bekerja,dia tekun dalam kerjanya. Apabila dia belajar,dia gigih dalam pelajarannya. Dan apabila dia bertindak berhati-hati dalam tindakannya. Anda akan melihat pelajar mukmin/mukminah itu sentiasa gembira dengan tugasnya, bahagia dengan kewajipannya. Masanya terisi penuh dengan kerja-kerja berfaedah.Kerja-kerjanya teradun indah mengikut keutamaan.Tugasnya yang banyak tidak menghalangnya untuk senyum dan senda gurau yang benar.

Anda akan melihat pelajar mukmin atau mukminah itu sentiasa faham tanggungjawab dan tugasnya terhadap agamanya, ibubapanya, guru-gurunya, saudara seaqidahnya,sahabat handainya, jiran tetangganya dan alam sekitarnya. Dan dia sedar bahawa kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada. Lalu dia tidak membuang masa percuma,menghabis waktu sia-sia.Diaturnya tugas yang banyak mengikut keutamaan dan menurut kesesuaian masa yang ada. Adakalanya dia terpaksa belajar bagaimana untuk belajar dengan cara yang betul dan cemerlang. Dia terpaksa belajar teknik belajar. Belajar mengagihkan masa yang ada. Belajar mengatur jadual peribadi. Belajar mengenali kelemahan diri. Dan kekadangnya terpaksa mencari kelemahannya melalui jendela sahabat dan cermin diri saudaranya. Kelemahan-kelemahan itu dikumpulkan untuk diperbaiki.

Pelajar mukmin atau mukminah amat arif dan faham bahawa setiap insan pasti ada kelemahannya dan pasti ada salah silapnya.Bumi mana yang tidak diimpa hujan.Dia juga tahu bahawa setiap insan dilahirkan dalam serba tidak mengerti selain tangisan.Manalah ada manusia yang lahir menjadi alim dan berpengalaman tanpa belajar gigih dan menempuh zaman?! Adakalanya pelajar muslim atau muslimah itu terpaksa menempuh ujian getir dalam usahanya membina diri. Dia terpaksa membuta mata, memekak telinga dan mengelu lidah terhadap karenah orang-orang kecil sekitarnya. Dia terpaksa menanggung berbagai-bagai penderitaan yang perit untuk menjadi insan yang positif. Tidak sedikit dia menerima ejekan kawan sepermainan, cemuhan teman sepengajian,dan lebih berat daripada itu ialah racun, duri dan ranjau yang ditabur oleh orang yang menjadi tempat pergantungannya.

Namun,dia bersedia menempuh ujian itu. Katanya,manalah ada wau yang naik tinggi menegak tanpa merempuh angin. Dia ingat bahawa cara terbaik mengatasinya ialah merempuhnya, bukan lari daripadanya. Kalaupun masih ada lidah-lidah panjang yang mengejeknya,bibir-bibir lebar yang mencemiknya, atau hati-hati kotor yang dengki kepadanya….dia akan bangkit mengatakan: ejeklah semahumu, cemuhlah sekehendakmu dan dengkilah selautan hatimu,aku tetap dengan prinsipku; mengenali diri membaikinya dan maju bersama azamku meninggalkan kamu di belakang menggigit jari kekesalan.

Pelajar Islam sekalian,

Renungilah Kata Imam Hasan Al Hudhaibi-Mursyidul Am Kedua Pergerakan Islam Ikhwan Muslimin-Mesir, “Kenalilah Tuhanmu,perbaikilah dirimu,ajaklah orang lain bersamamu, tegakkan Negara Islam dalam hati / dirimu, pasti ia akan tegak nyata di atas bumimu.

Nukilan daripada,
Mohd Faizul Afzan Bin Mamat
Setiausaha,
Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan

http://faizulafzan.blogspot.com
http://ppik-kelantan.blogspot.com



Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

 

Laman Pelajar Islam Kelantan | PPIK Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | by Media PPIK.