Jumaat, 26 Jun 2009

PKPIM CADANGKAN KAJIAN MENYELURUH DAN TERPERINCI SEBELUM BUAT PERUBAHAN DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik segala usaha yang digerakkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk melakukan penambah baikan di dalam sistem pendidikan negara daripada semasa ke semasa. Perubahan-perubahan di dalam sistem pendidikan negara merupakan suatu yang dialu-alukan untuk memenuhi tuntutan semasa demi memastikan sistem pendidikan negara mampu melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti mengikut peredaran masa.


Namun, PKPIM melahirkan kerisauan terhadap sebarang perubahan-perubahan yang diputuskan perlaksanaannya secara drastik. Adalah dikhuatiri, perubahan-perubahan secara drastik tanpa kajian menyeluruh dan terperinci akan memberikan kesan negatif terhadap para pelajar. Adalah dikhuatiri juga, ia akan menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat.


Justeru, PKPIM mencadangkan suatu tempoh masa yang secukupnya untuk kajian secara menyeluruh dan terperinci dilaksanakan sebelum keputusan dibuat berhubung dengan sebarang cadangan perubahan di dalam sistem pendidikan negara. Tempoh masa ini adalah untuk memberi ruang supaya sebarang cadangan perubahan dalam sistem pendidikan negara dibincangkan dengan masak.


PKPIM juga mencadangkan kajian terhadap cadangan perubahan di dalam sistem pendidikan negara turut melibatkan tokoh-tokoh dan pihak-pihak yang mewakili masyarakat di pelbagai bidang dan lapangan. Dengan penglibatan mereka, sebarang cadangan perubahan akan dapat dinilai daripada pelbagai sudut. Dengan ini, suatu kefahaman bersama akan dapat dicapai.


PKPIM sebagai mewakili generasi muda menyatakan komitmen untuk turut sama membantu KPM di dalam melaksanakan transformasi di dalam sistem pendidikan negara demi mengupayakan kualiti generasi muda Malaysia.


KHAIRUL ANWAR BIN SHAZALI
Setiausaha Agung,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

www.pkpim.net


Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

 

Laman Pelajar Islam Kelantan | PPIK Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | by Media PPIK.